Pages

Tuesday, February 28, 2017

Majlis Pembugaran Program LINUS 2.0 kepada Guru Besar dan Pelancaran Tagline LINUS 2.0

Tanggal 1 Mac 2017 menyaksikan Majlis Pembugaran Program LINUS kepada Guru Besar Daerah Dungun bersekali dengan Pelancaran Tagline LINUS. Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Haji Kassim Bin Husin, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Dungun di Dewan Seminar Chemerong pada jam 9.00 pagi. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menyampaikan informasi terbaru kepada Guru-guru Besar mengenai LINUS 2.0. Pengisian lain yang turut dijalankan ialah perkongsian aktiviti LINUS daerah pada tahun lepas, perancangan aktiviti LINUS daerah bagi tahun ini, penyampaian sijil serta papan tanda sistem band bagi sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan dalam keputusan saringan.Selain itu, bagi meningkatkan penglibatan semua pihak dalam aktiviti LINUS, tagline "LINUS Hok Kita, Kita Care Sama-sama" dilancarkan oleh Tuan PPD. Adalah diharapkan agar dengan pengenalan tagline ini, semua pihak di sekolah akan dapat lebih menumpukan perhatian kepada program LINUS 2.0. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Kassim dan barisan Guru-guru Besar daerah Dungun di atas kesudian hadir.

 Pelancaran Tagline LINUS

 En. Mohd Din menyematkan pin-up button untuk Tuan PPD


 Penyampaian Sijil Penyertaan Anugerah Kecemerlangan (Pengurusan LINUS)

 Penyampaian sijil dan papan tanda peningkatan sistem band LINUS

 Penyampaian sijil penguasaan 100% LBM,LBI dan NUM

Tuan PPD, FasiLINUS dan barisan Guru Besar sekolah-sekolah daerah Dungun

Tuesday, February 14, 2017

Lawatan Penanda Aras PPD Besut ke SK Paka

Pada tanggal 9 Februari 2017, Pejabat Pendidikan Daerah Dungun dan Sekolah Kebangsaan Paka telah menerima lawatan penanda aras daripada Pejabat Pendidikan Daerah Besut. Rombongan seramai 55 orang ini terdiri daripada 6 orang Pegawai FasiLINUS dan 49 orang guru-guru penyelaras LINUS daerah Besut. Rombongan yang diketuai oleh Puan Hajah Zawiyah Bt Ahmad (Ketua FasiLINUS PPD Besut) tiba sekitar jam 11.30 pagi dan disambut En. Mohd Din Bin Jusoh (Ketua FasiLINUS PPD Dungun) serta Puan Salina Bt. Abdul Rahma (Guru Besar, SK Paka). Tetamu disambut dengan paluan kompang, persembahan silat serta koir oleh murid-murid program LINUS SK Paka. Taklimat pengoperasian LINUS serta program-program yang dijalankan di SK Paka telah disampaikan oleh guru penyelaras LINUS SK Paka dan sesi perkongsian turut dijalankan. Tetamu-tetamu kemudiannya dibawa ke Bilik LINUS SK Paka serta kawasan sekitar sekolah di mana aktiviti-aktiviti pengukuhan LINUS dijalankan. Terima kasih diucapkan kepada PPD Besut di atas kesudian melawat kami di sini dan sekalung penghargaan serta ucapan syabas buat SK Paka di atas komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam menjayakan program ini.







Lawatan Penanda Aras PPD Bachok ke SK Paka

Pada tanggal 7 Februari 2017, Pejabat Pendidikan Daerah Dungun dan Sekolah Kebangsaan Paka telah menerima lawatan penanda aras (benchmarking visit) daripada Pejabat Pendidikan Daerah Bachok, Kelantan. Rombongan seramai 40 orang tersebut terdiri daripada 6 orang Pegawai FasiLINUS dan 34 orang guru-guru penyelaras LINUS dari sekolah-sekolah di daerah Bachok. Rombongan yang diketuai oleh Cik Zurnaini Bt Mohd Yusof (Ketua FasiLINUS PPD Bachok) ini tiba di SK Paka pada jam 1.30 petang dan disambut meriah oleh Tuan Haji Zamri Bin  Abdul Razak (Penolong Pengarah Bahagian Matematik merangkap Pegawai Meja LINUS JPN Terengganu), En. Mohd Din Bin Jusoh (Ketua FasiLINUS PPD Dungun) serta Puan Salina Bt Abdul Rahman (Guru Besar, SK Paka). Tetamu yang diarak dengan paluan kompang kemudiannya disajikan dengan persembahan koir oleh murid-murid LINUS SK Paka. Majlis diteruskan dengan taklimat pengurusan LINUS SK Paka yang disampaikan oleh guru penyelaras LINUS  sekolah berkenaan. Akhir sekali bagi mengakhiri program yang berlangsung sekitar 4 jam ini, tetamu-tetamu telah dibawa ke sekeliling kawasan sekolah untuk melihat pengoperasian dan program-program berkaitan LINUS yang telah dijalankan oleh pihak sekolah. Terima kasih diucapkan kepada rombongan PPD Bachok dan syabas kepada SK Paka diatas persediaan rapi yang telah diadakan.